you come to me

Sunday 27 January 2013

Di Sini Mulanya...

wahai insan yang bergelar anak, hayatilah kisah ini...




Malam itu, bulan milik Allah menyembah sinarnya ke bumi. bintang-bintang yang menghiasi langit Tuhan, tiada henti bertasbih dan memuji Allah Azzawajalla. udara dingin memenuhi ruang diselangi hembusan angin malam yang nyaman sekali.

begitu sekali kedamaian malam yang diciptakan oleh Allah, namun masih ada cucu-cicit Adam yang hidup ibarat kunang malam, bersengkang mata mengejar keseronokan duniawi. berkaroeke hingga awal pagi, mengasah bakat menyanyi untuk menyaingi artis tersohor.

dihujung taman bunga, muda-mudi memadu asmara dalam samar-samar cahaya. hanyut dibuai nafsu, ghairah dalam bisikan dan pujuk rayu syaitan. ada juga yang bersedia untuk syahid tanpa rela. jalan raya dijadikan medan pertempuran tanpa mengira bahaya yang bakal dihadapi. bagi yang merasai nikmat-nikmat tidur, akan  lena diulit mimpi indah di atas tilam yang gebu lagi empuk dan diselimuti selimut tebal.

tetapi, bagi insan yang benar-benar bertaqwa, malam yang panjang dirasakan pendek kerana keseronokan bermunajat kepada-Nya. tiada yang lebih nikmat melainkan bersunyi-sunyian, bertafakur, berdoa dan memohon maghfirat-Nya.

kepekatan malam menyaksikan air mata keikhlasan hamba-Nya yang benar-benar tulus dalam meraih redha daripada-Nya.

namun anakku... malam yang ibu maksudkan itu sungguh luar biasa bagi ibu, malam yang tidak mungkin ibu lupakan selagi nyawa dikandung badan.

malam itu ibu berada dalam situasi yang sangat berbeza, di tempat yang asing bagi ibu... ibu terbaring di atas katil besi empat segi panjang di dalam bilik kecil empat segi sama, di kiri kanan ibu ada jarum yang menusuk ke urat, ada ubat yang mengalir, ada besi, ada gunting, ada pisau, ada mesin yang merakam nyawa ibu.. malam itu.. ibu sedang bertarung nyawa demi melahirkanmu!

terasa kesakitan yang menjalar ke seluruh tubuh, ke segenap urat dan sendi. peritnya tidak dapat diucapkan dengan kata-kata. seluruh anggota terasa tidak berdaya. tiada rehatnya ibu daripada kesakitan... nafas terasa pendek. tercungap-cungap mencari peluang untuk bernafas. jika tiada iman di dada, barangkali ibu turut meraung-raung seperti Lethcumi dan Swee Lin di kamar sebelah.

namun, ibu tetap menguatkan semangat supaya selamat melahirkanmu. kehadiran ayahmu di sisi, merenung ibu dengan sepasang mata yang redup, penuh pengertian dan menyuntik semangat ibu untuk terus bertahan.

syukur, Allah masih lagi sudi memberi hidayah-Nya. lalu dalam setiap renjatan kesakitan itu terasa mengalir kasih Allah ke dalam tubuh ibu yang merupakan satu nikmat yang tidak dapat diungkap dengan kata-kata. terasa diri ibu hina kerana menerima kemuliaan daripada-Nya. Ibu basahkan bibir dengan butiran kalimah-Nya agar menjadi penawar keperitan. hati pula tiada henti bermunajat agar ibu dan kesayangan ibu selamat bersama.

"ya Allah ya Ghafur (maha pengampun)... ampunilah dosaku. Allah ya Quddus (maha suci)... bersihkanlah aku umpama sucinya bayi yang akan ku lahirkan ini. permudahkanlah urusan ku ini, hanya engkau yang berkuasa atas apa-apa yang ku lalui sekarang ni. aku berserah sepenu-Nya kepada-Mu".

ibu benar-benar tidak berdaya. hanya hati terus membisikkan kalimah Allah dan kalam suci-Nya mengetuk-ngetuk sanubari ibu.

Dari Lubuk Hai Ibu, Norhafizah Musa & Wan Nor Ainon Wan Abdullah.

MuSt ReAd!!!


No comments: